LAHAD DATU: Projek menaik taraf bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Lahad Datu di Jalan Tengah Nipah bernilai RM29 juta dijangka siap pada Julai 2025.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata projek ini melibatkan penggantian 26 bilik darjah, empat unit rumah guru, bangunan pentadbiran, serta kemudahan lain seperti tandas dan tangki air mengikut piawaian terkini.
“Sekolah ini antara yang tertua di daerah ini, wujud sejak 1937. Projek ini akan memberi manfaat kepada 1,900 murid, 119 guru, dan 19 petugas sokongan,“ katanya selepas meninjau kerja-kerja naik taraf di sekolah tersebut.
Projek yang bermula pada 5 April 2022 kini mencapai 35 peratus kemajuan. Ahmad menegaskan bahawa kontraktor perlu bekerja lebih masa tanpa lanjutan tempoh (EOT).
“Saya arahkan kontraktor untuk mempercepat kerja, termasuk menggalakkan DOA bagi pembayaran terus kepada pembekal,“ jelasnya.
Selain itu, Ahmad turut menekankan tiada EOT akan diberikan untuk projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1B.
“Kita tidak mahu kelewatan seperti Fasa 1A yang merugikan rakyat, kontraktor, dan kerajaan,“ katanya. Fasa 1B melibatkan 19 daripada 35 pakej kerja Lebuh Raya Pan Borneo Sabah. - Bernama