SEPANG: Cadangan projek Jajaran Rel Selangor merupakan pautan sistem perhubungan penting yang berupaya membuka potensi sepenuhnya Selangor Aero Park (SAP) yang baru dilancarkan, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Katanya, sistem rel ini juga akan mengubah negeri ini menjadi hab kuasa penerbangan dan logistik bersepadu sepenuhnya.

Beliau berkata projek rel tersebut yang pertama kali dicadangkan kepada Kementerian Pengangkutan beberapa bulan lepas bertujuan menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Subang, Pelabuhan Klang dan pelabuhan baharu yang bakal dibangunkan di Pulau Carey.

“Jika kita berjaya merealisasikan potensi penuh SAP, terdapat satu pautan perhubungan yang masih hilang yang boleh melengkapkan rangkaian untuk menghubungkan industri, rakyat dan infrastruktur pengangkutan utama di Selangor dan Lembah Klang iaitu Jajaran Rel Selangor.

“Walaupun kami (kerajaan negeri Selangor) sedar sepenuhnya akan kerumitan kewangan yang terlibat, saya memberi jaminan iaitu kami bersedia untuk memberikan sokongan sepenuhnya dari segi intelektual dan teknikal bagi merealisasikan visi ini dengan restu Jemaah Menteri Persekutuan,” katanya.

Amirudin berkata demikian sewaktu berucap pada majlis pecah tanah SAP di sini hari ini.

Pada Februari, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata pembinaan jajaran itu akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu dalam tempoh sehingga 10 tahun.

Ng berkata kajian kebolehlaksanaan berada dalam fasa akhir dan jajaran sepanjang 200 kilometer dengan empat cadangan cabang laluan iaitu Westport, Klang, Putra Heights serta Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya sudah dikenal pasti bagi projek berkenaan.

Mengulas mengenai SAP, Amirudin berkata pembangunan seluas 242.811 hektar itu merupakan titik permulaan strategik untuk meletakkan Selangor dan Malaysia sebagai kuasa besar aeroangkasa di rantau ini.

Beliau berkata 68 peratus ekonomi aeroangkasa Malaysia sudah berpusat di Selangor.

SAP, katanya dijangka menarik syarikat aeroangkasa antarabangsa serta industri rantaian bekalan yang penting.

“Kelahiran SAP akan memacu minat syarikat gergasi global untuk berpindah ke Selangor, daripada pengeluar pesawat seperti Airbus dan Boeing kepada syarikat yang terlibat di seluruh rantaian bekalan. Senarainya tidak berkesudahan,” kata Amirudin.

Menurut Amirudin, satu lagi objektif utama SAP iaitu mengangkat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan ke tahap nilai yang lebih tinggi serta meningkatkan bahagian Malaysia dalam aktiviti aeroangkasa bernilai tinggi.

“Bagi Selangor, saya amat yakin SAP akan menarik lebih banyak PKS tempatan untuk mendapatkan pensijilan global bagi naik ke tahap rantaian nilai dan rantaian bekalan, daripada menjadi pemain besar kepada pesaing kuasa-kuasa besar di rantau ini.

“Terdapat peluang untuk berkembang menjadi pengeluar peralatan asal (OEM), menghasilkan sistem pesawat utama serta syarikat yang membuat subpemasangan dan pembekal yang menyediakan bahagian serta bahan mentah,” katanya.