• 2025-07-15 04:59 PM

KOTA BHARU:** Projek tanaman bawang seluas 30.85 hektar di tujuh jajahan di Kelantan dijangka dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap bawang import menjelang 2030. Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata Malaysia kini bergantung sepenuhnya kepada import bawang dari negara seperti India dan China.

“Pada 2022, negara mengimport 685,400 tan metrik bawang besar dan kecil dengan nilai RM1.58 bilion. Ini menunjukkan betapa tingginya kebergantungan kita,“ katanya dalam kenyataan video di Facebook rasminya.

Kerajaan negeri melalui Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi sedang memajukan sektor pertanian, termasuk tanaman bawang. Projek sedang dan akan dilaksanakan di Bachok, Pasir Mas, Pasir Puteh, Jeli, Kuala Krai, Machang dan Tanah Merah.

Jabatan Pertanian Negeri Kelantan turut memperuntukkan RM100,000 untuk pembangunan tanaman bawang di Agro Valley Rong Chenok, Pasir Mas.

Satu projek perintis seluas satu hektar di Kuala Krai juga dilaksanakan tahun lepas dengan kerjasama usahawan tempatan dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar). Projek ini dijangka menjana hasil RM1.4 juta pada 2025.

“Kita sasarkan pengurangan kebergantungan import secara berperingkat dan menjelang 2030, 30 peratus keperluan bawang negara boleh dihasilkan sendiri,“ kata Mohd Nassuruddin.

Beliau menekankan pentingnya meningkatkan pengeluaran dan memastikan bekalan bawang stabil untuk pasaran tempatan.