Your Title

PUTRAJAYA: Proses bedah siasat mayat Pegawai Tribunal Kastam masih dijalankan dan belum selesai setakat ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa.

Rusdi berkata kes melibatkan mangsa berusia 45 tahun itu masih dalam siasatan dan sekiranya ada keterangan yang menunjukkan perlakuan jenayah, maka kes akan diklasifikasikan semula.

“Bedah siasat masih belum selesai. Kes masih dalam siasatan, yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang pegawai kastam ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di lantai pejabat dengan keadaan leher dan kaki terikat menggunakan pengikat kabel.

Rusdi turut dilaporkan berkata pegawai kastam itu ditemukan maut di Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan di sini dan hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dijumpai.

Beliau berkata mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.