KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan bahawa pengisian jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan dilaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan bahawa proses ini akan mematuhi Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
“Pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Perkara ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina turut memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja akan bersidang bagi Mesyuarat ke-269 pada 15 hingga 17 Julai ini. Jemaah Menteri juga telah membincangkan isu kekosongan jawatan tersebut serta mengambil maklum kebimbangan orang ramai.
Kerajaan MADANI kekal komited untuk memperkukuh keyakinan awam terhadap institusi kehakiman. “Kami menyeru semua pihak memberi ruang agar proses ini berjalan lancar demi kepentingan negara dan kedaulatan undang-undang,“ tambah Azalina.
Sementara itu, Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan tugas Ketua Hakim Negara sehingga jawatan itu diisi. Pelantikan sementara ini adalah selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas persaraan wajib Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 2 Julai lepas, manakala Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim pula bersara sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada 3 Julai. - Bernama