KUALA LUMPUR: Pendengaran prosiding menghina mahkamah difailkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadualkan hari ini ditangguhkan ke 21 Julai ini, di Mahkamah Tinggi di sini.

Prosiding itu berkaitan tindakan Dr Mahathir yang mengadakan sidang akhbar pada 5 Dis tahun lepas di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalan beliau selepas memberi keterangan dalam samannya terhadap Ahmad Zahid berhubung isu “kutty”.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan penangguhan itu selepas peguam Mior Nor Haidir Suhaimi, yang mewakili Dr Mahathir memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti afidavit balasan defendan (Ahmad Zahid) berkaitan prosiding menghina mahkamah yang baru diterima semalam (Rabu).

“Pihak kami perlu mendapatkan arahan daripada anak guam berhubung afidavit berkenaan dan anak guam saya juga kini berada di Langkawi sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’ 25). Oleh itu, kami mohon prosiding hari ini ditangguhkan dan saya percaya peguam defendan tidak membantah penangguhan ini,“ kata peguam itu.

Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid mengesahkan pihaknya baru menyerahkan afidavit berkenaan semalam dan menunggu jawapan daripada plaintif (Tun Mahathir) selain tidak membantah penangguhan prosiding hari ini.

Sementara itu, mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk perbicaraan kes saman itu pada 22 hingga 24 Julai dan menetapkan 19 Jun untuk pengurusan kes.

Dr Mahathir telah selesai memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman itu pada 5 Dis tahun lepas manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz menjadi saksi terakhir plaintif pada 9 Dis tahun sama.

Dr Mahathir, 99, selaku plaintif menyaman Ahmad Zahid, 72, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap beliau berhubung isu ‘kutty’.

Berdasarkan pernyataan tuntutan difailkan pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.