ALOR SETAR: Dua calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kedah menyifatkan provokasi melampau seperti membakar poster kempen wajah pemimpin dan calon pilihan raya, tidak sepatutnya berlaku pada zaman ini.
Calon kerusi Parlimen Kuala Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata semua parti yang bertanding sepatutnya bersikap profesional dalam berkempen tanpa melakukan sebarang bentuk vandalisme.
Beliau yang mesra dipanggil ‘Mak Teh’, berkata calon perlu membuktikan kemampuan mereka untuk menjadi seorang pemimpin serta memberikan tawaran kepada pengundi sekiranya menang di kerusi ditandingi dan bukannya membakar poster lawan.
“Bakar-bakar poster ini, Mak Teh rasa macam sedih sebab masih ada lagi pemikiran yang macam itu. Kadang-kadang bila kita buat macam itu orang lagi simpati kepada parti yang terkena ini, orang lagi hendak marah.
“Saya rasa zaman provokasi itu sudah habis, tidak perlu macam itu lagi. Kita tawarkan apa yang kita rasa kemampuan setiap parti untuk menangani dan memberi manfaat yang terbaik kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui berkempen di Kuala Kedah, dekat sini, hari ini.
Senada dengan Mashitah adalah calon kerusi Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz, yang menyifatkan tindakan mengapi-apikan perasaan benci tidak lagi memberi kesan ketara terhadap pendirian pengundi kerana rakyat sudah bijak berfikir.
“Apa tujuannya membakar poster? Apakah mereka hendak wujudkan kebencian, adakah mungkin mahu menarik simpati? Itu kita tidak faham. Jadi lebih baik kita tumpukan apa yang kita hendak buat kepada rakyat.
“Jadi saya mintak kepada parti-parti yang bertanding, gunakan akal yang waras elok-elok. Jangan mengapi-apikan masyarakat dan jangan mengadu domba. Ini bukan zamannya,” katanya yang ditemui berkempen di Giatmara Jerlun.
Media hari ini melaporkan polis sedang mengesan individu yang membakar poster kempen wajah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Mashitah di Kampung Gelong Air, Mukim Gunung, semalam. - Bernama