PUTRAJAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan memperkenalkan skim pencen warga emas melibatkan peruntukan RM500 sebulan dalam Belanjawan 2025 sebagai perlindungan kewangan kepada golongan tersebut.

Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata warga emas di Malaysia menghadapi pelbagai cabaran merangkumi ketiadaan wang simpanan mencukupi untuk perbelanjaan keperluan asas selepas persaraan.

“Ada yang terpaksa bergantung kepada anak-anak tetapi kita perlu faham yang anak-anak turut mempunyai tanggungan dan perbelanjaan lain seperti kos sewa rumah dan pendidikan.

“Sebab itu kita harap kerajaan boleh bawa skim pencen RM500 ini untuk semua warga emas berumur 65 tahun ke atas yang tidak menerima pencen kerajaan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum gesaan itu di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Memorandum berkenaan diterima oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Muhammad Fikri Khalid@Abdul Aziz.

Menurut Jeyakumar, sebanyak RM11 bilion diperlukan bagi melaksanakan skim itu melibatkan kira-kira 1.8 juta warga emas berbanding bajet keseluruhan negara yang dianggarkan RM400 bilion setahun.

Beliau berkata skim berkenaan merupakan satu keperluan di sesebuah negara maju dan berpendapat Malaysia perlu mencontohi negara luar seperti Mexico dan Kanada yang melaksanakan skim serupa.

Open Two Websites with Image

Clickable Image