• 2025-06-24 04:30 PM

KUALA LUMPUR: Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang dilancarkan hari ini menandakan permulaan kepada satu rombakan besar-besaran dalam perancangan pembangunan ibu negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyifatkan PTKL2040 sebagai pelan paling lengkap dalam sejarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), beliau berkata ia bukan sekadar penyusunan fizikal kota, tetapi satu anjakan falsafah dan pendekatan bagi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar lebih manusiawi, inklusif dan adil kepada masyarakat.

Selain itu, Perdana Menteri berkata PTKL2040 turut mengambil kira pemikiran dan teknologi baharu seperti digital dan kecerdasan buatan (AI) termasuk dalam membangunkan perumahan rakyat.

“Kita bukan membangunkan kota yang baharu seperti Putrajaya, tidak. Kita bangunkan dalam keadaan sudah terikat dengan beberapa struktur lama yang tidak mungkin dipindahkan, agak lebih sukar.

“Jadi, jangan kita andaikan peluncuran ini bermakna membangunkan satu imej baharu Kuala Lumpur, ia sedaya upaya terbatas kepada kerangka lama yang tidak semestinya memenuhi maksud dan keperluan kita,“ kata beliau pada pelancaran PTKL2040 di sini hari ini.

Anwar turut menekankan bahawa cabaran terhadap pembangunan bandar bukan hanya membina, tetapi membaiki apa-apa yang sudah sedia wujud termasuk sistem cacamarba, kelulusan perumahan tanpa pertimbangan menyeluruh dan amalan tadbir urus yang longgar.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata pelan berkenaan tertangguh lama antaranya disebabkan wabak COVID-19 yang melanda negara, namun Kerajaan MADANI mengusulkan satu rombakan dan penyesuaian terhadap pelan itu untuk memastikan Kuala Lumpur menikmati pembangunan yang utuh.

Selain itu, beliau berkata pelancaran PTKL2040 mengambil masa kerana perlu menyantuni dan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk pengusaha dan masyarakat setempat.

Sementara itu, Anwar berkata pembangunan bandar raya ini tidak boleh lagi dipisahkan daripada keperluan rakyat berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) yang selama ini hanya menikmati sisa-sisa pembangunan berbanding kelompok elit dan berpendapatan tinggi.

Beliau turut mengakui wujud tentangan daripada golongan elit terhadap projek perumahan rakyat yang dirancang semula, namun menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berganjak daripada prinsip untuk menyantuni mereka yang selama ini terpinggir.

“Selalunya pembangunan bandar meletakkan pembangunan rakyat itu hanya satu kelompok yang terasing. Semua kemudahan tertumpu kepada kelompok yang lebih selesa. Tidak salah, tetapi tidak seimbang.

“Saya selalu ungkapkan, sesuatu pembangunan perlu bersifat manusiawi, bermaksud perlu mengambil kira keperluan di gerai, warung dan restoran kecil yang dinikmati majoriti 80 peratus golongan rakyat,“ kata beliau.

Justeru, Anwar menegaskan supaya pembangunan bandar perlu merangkumi kemudahan pendidikan, kesihatan, tadika dan pengangkutan awam dalam satu ekosistem yang mampan.

Beliau turut memberi contoh menerusi pembinaan sekolah vertikal yang meletakkan aspek keselamatan ketat dengan reka bentuk lebih teratur, serta dibina di kawasan mempunyai pengangkutan awam dan kemudahan asas lain.

PTKL2040 menterjemah wawasan jangka panjang ke arah Bandar Untuk Semua dengan memperkukuh perancangan Kuala Lumpur selaras dengan agenda kemampanan.

PTKL2040 akan diguna pakai oleh DBKL untuk menilai sebarang permohonan pembangunan, menjalankan tugas berkaitan fasa kelulusan serta mengenal pasti kerangka cadangan pembangunan masa depan Kuala Lumpur.

Majlis itu dihadiri isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.