Your Title

KUALA LUMPUR: Seorang ibu kandung dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini selepas mengaku bersalah memukul anak lelakinya berusia enam tahun sehingga meninggal dunia, dua minggu lepas.

Hakim Norshila Kamarudin memerintahkan tertuduh berusia 25 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan wanita itu turut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun serta dilarang menjaga dan memelihara kanak-kanak lain selama lima tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara setahun sekiranya gagal mematuhi syarat ditetapkan.

Dia didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak lelakinya telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal iaitu memukul, mencubit dan menampar sehingga mangsa meninggal dunia.

Kejadian berlaku di sebuah kediaman di Taman Bukit Ampang di sini antara 2 petang pada 8 Jan dan 6 petang hari berikutnya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada 10 Jan lepas pihak polis menuju ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 2.36 petang tarikh sama, yang memaklumkan mangsa tidak bernafas dan tidak sedarkan diri.

Ibunya memaklumkan mangsa demam panas dan sawan namun hasil bedah siasat pada 11 Jan mengesahkan punca kematian disebabkan oleh trauma tumpul di bahagian kepala dan abdomen.

Siasatan polis mendapati mangsa dipukul, ditampar, dicubit dan dimarah ibunya kerana sentiasa menangis serta tidak membuang air kecil dan besar dengan teratur selain tidak menghantar mangsa yang demam ke hospital.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin manakala Peguam Muhammad Aidil Akmal Sharidan mewakili wanita itu yang mempunyai seorang lagi anak berusia enam bulan.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, teman lelaki wanita berkenaan Muhammad Redza Zainurin, 36, didakwa membunuh mangsa yang sama di tempat yang sama pada 2.36 petang, 10 Jan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top yang kemudian menetapkan 24 Mac untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.