KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan vape (rokok elektronik) di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menahan 14 individu termasuk enam pegawai kastam kerana disyaki bersekongkol dalam kegiatan tersebut, baru-baru ini.
Menurut sumber SPRM, sindiket itu dibongkar menerusi Ops Airways yang menyaksikan semua suspek lelaki berusia 20 hingga 60-an itu ditahan dalam serbuan di sekitar KLIA dan Putrajaya petang semalam, dan kegiatan sindiket itu mengakibatkan negara mengalami kerugian dari segi kutipan cukai yang dianggarkan RM8 juta.
SPRM turut menahan dua lori yang keluar dari pusat pemeriksaan kargo KLIA.
Pada masa sama, serbuan secara besar-besaran turut dilakukan di dua gudang penyimpanan yang dipercayai digunakan sindiket terbabit.
“Pemeriksaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menemukan 32,000 unit vape di dalam lori yang ditahan, dengan cukai dianggarkan bernilai RM1.9 juta. Selain itu, serbuan di sebuah gudang membawa kepada penemuan 90,000 lagi unit vape bernilai RM5.4 juta yang tidak dibayar cukai.
“Di gudang kedua, SPRM turut menemui berpuluh ribu unit vape, menjadikan jumlah kerugian cukai kepada negara dianggarkan RM8 juta,” katanya.
Hasil intipan selama tiga bulan mendapati kesemua vape yang diseludup itu tidak diikrarkan dan tiada sebarang dokumen dicatatkan, sekali gus menyerupai modus operandi ‘kontena terbang’, manakala pegawai penguat kuasa yang bertugas menerima ribuan ringgit bagi setiap kontena tanpa melalui mesin imbasan atau sebarang pemeriksaan.
“SPRM turut menyita wang berjumlah RM250,000, empat jam tangan, tujuh anting-anting, seutas rantai, tiga gelang tangan, dua cincin, satu pouch, dua beg tangan wanita, seutas tali pinggang, satu unit pemacu keras (hard drive), satu unit monitor, dua buah unit pemprosesan pusat (CPU) dan dua buah lori,” katanya.
Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Semua 14 individu yang ditahan, termasuk enam pegawai kastam, empat pengarah syarikat dan dua individu lain, direman empat hingga lima hari bagi membantu siasatan.
Seorang lagi pengarah syarikat dilepaskan dengan jaminan SPRM.