KLANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 12 warga asing dalam serbuan di sebuah pusat hiburan yang dipercayai menjadi lokasi transit gadis pelayan pelanggan (GRO) di Bandar Bukit Tinggi di sini menerusi Op Gegar, malam tadi.
Pengarah JIM Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata mereka yang ditahan dalam serbuan bermula 9.30 malam itu terdiri daripada tujuh wanita warga Kemboja, dua Vietnam dan seorang warga Thailand, disyaki terlibat menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan di sekitar Klang.
Beliau berkata turut ditahan bersama wanita berusia lingkungan 21 hingga 35 tahun itu ialah dua lelaki, masing-masing warga Pakistan dan Vietnam yang bekerja sebagai penjaga bar di pusat hiburan terbabit.
“Modus operandi mereka adalah rundingan awal dilakukan melalui aplikasi media sosial sebelum bertemu pelanggan di pusat hiburan itu dan selepas persetujuan dicapai, GRO akan dibawa ke hotel untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan bayaran antara RM150 hingga RM300 sejam,“ katanya kepada pemberita selepas operasi berakhir tengah malam tadi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Khairrul Aminus berkata serbuan melibatkan 21 pegawai dan anggota dengan kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut.
Dalam kes berasingan, beliau berkata pihaknya menahan empat pendatang tanpa izin termasuk pasangan suami isteri menerusi Op Sapu kira-kira 10.20 malam di sebuah premis yang dipercayai disewa di Taman Klang Jaya, di sini.
Beliau berkata serbuan berkenaan dibuat susulan aduan penduduk sekitar yang mendakwa sering terganggu dengan bunyi bising dari rumah berkenaan yang dipercayai menjadi lokasi transit warga asing.
“Mereka yang ditahan ialah dua lelaki dan seorang wanita termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun. Semakan mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki permit sah dan tinggal lebih masa di negara ini,“ katanya.