• 2025-10-21 05:16 PM

KOTA SAMARAHAN: Pembinaan Pusat Sains Sarawak kini mencapai kira-kira 80% kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2026.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata projek berkenaan berjalan lebih cepat daripada jadual asal.

“Walaupun struktur fizikal bangunan di Petra Jaya hampir siap, kementerian masih menunggu ketibaan pameran serta bahan interaktif yang akan dipamerkan di pusat tersebut,“ katanya.

Majlis perasmian pusat sains itu dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pusat berkenaan yang menelan kos RM239 juta dijangka menjadi hab utama pembelajaran dan penerokaan dalam bidang sains, teknologi serta inovasi.

Ia menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan generasi muda berpengetahuan dan berkemahiran tinggi selaras dengan agenda menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.

Program dan bengkel yang akan dijalankan di pusat sains itu akan disesuaikan bagi melengkapkan kurikulum sains sekolah.

Pendekatan pembelajaran berasaskan amali dan penyelidikan akan memuncak kepada projek pelajar.

Pusat Sains Sarawak dibangunkan di atas tapak seluas 4.4 hektar berhampiran bangunan ibu pejabat Sarawak Energy Berhad di Jalan Stadium, Petra Jaya, Kuching.

Dalam perkembangan lain, Sagah berharap kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan yang adil kepada Sarawak daripada jumlah RM7.9 billion untuk program TVET dalam Belanjawan 2026.

Peruntukan itu penting bagi memastikan institusi latihan teknikal dan vokasional di Sarawak terus melahirkan tenaga kerja mahir.

“Kita memerlukan ramai tenaga teknikal, bukan sahaja mereka yang cemerlang akademik, tetapi juga graduan TVET yang boleh berkhidmat dalam industri,“ katanya.

Mengenai Rang Undang-Undang TVET yang dicadangkan, beliau berkata masih terlalu awal untuk memberi komen kerana butirannya belum diperincikan. – Bernama