PUTRAJAYA: Pelaksanaan inisiatif Pusingan Kerja Petugas Kaunter yang melibatkan semua kementerian termasuk jabatannya bermula hari ini, bagi memperkukuh kualiti perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di kaunter.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan kemahiran petugas kaunter, memastikan kepelbagaian kemahiran kerja dan memperkasakan pengalaman pelanggan dengan penyampaian perkhidmatan lebih cekap serta mesra.
“Langkah ini sejajar dengan matlamat reformasi perkhidmatan awam untuk mewujudkan sistem kerja yang lebih dinamik dan responsif terhadap keperluan rakyat,“ katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan pusingan kerja itu melibatkan semua kementerian utama termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan beberapa kementerian lain yang terlibat secara langsung dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Melalui program itu, petugas kaunter akan diberikan latihan berkala dan pemantauan berterusan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Selain itu, petugas kaunter juga akan diberikan pendedahan kepada pelbagai aspek tugas di kaunter, membolehkan mereka menangani pelbagai pertanyaan dan urusan pelanggan dengan lebih efisien.
“Kerajaan yakin bahawa dengan pelaksanaan Pusingan Kerja Petugas Kaunter, perkhidmatan awam negara akan terus diperkukuh dan mampu memberikan pengalaman yang lebih baik kepada rakyat,“ katanya.