JITRA: Musibah yang menimpa Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang kehilangan ibu bapa serta empat adiknya dalam tragedi di Sungai Korok pada Sabtu lepas, terus mendapat perhatian pelbagai pihak.
Selain keluarga terdekat, pihak sekolah, pemimpin masyarakat, dan badan bukan kerajaan (NGO) turut memberikan sokongan moral dan bantuan kepada mangsa yang terselamat itu.
Pengerusi Persatuan Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim, berkata tragedi ini memberi kesan mendalam bukan hanya kepada Putri Qisya tetapi juga masyarakat.
“Kita hadir untuk memberi suntikan semangat kepada adik Qisya, diharapkan dia tidak kecewa atas ujian ini yang dia terpaksa lalui sepanjang hayatnya,“ katanya selepas menziarahi kanak-kanak itu di kediaman saudaranya di Taman Sri Aman.
Zuraidi turut menyatakan komitmen untuk memastikan pendidikan Putri Qisya terbela dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah.
“Kita bagi jaminan, setiap bulan kita akan beri sesuatu yang baik untuk adik Qisya dalam konteks pelajaran dia,“ katanya.
Selain itu, beliau menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk membina pagar penghadang dan memasang lampu jalan di Jalan Sungai Korok bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari, turut menziarahi Putri Qisya bagi menyampaikan bantuan dan sokongan moral.
Beliau juga menyatakan bahawa sesi kaunseling telah diatur untuk menjaga kesihatan mental kanak-kanak itu. “Saya telah bercakap dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan kesihatan mentalnya terjaga,“ katanya.
Dalam kejadian pada Sabtu lepas, kereta Proton Iswara yang dinaiki keluarga Putri Qisya dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Korok. Kesemua ahli keluarga ditemui maut pada Isnin pagi. - Bernama