KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kedai makanan segera diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana meraba seorang kanak-kanak perempuan yang juga jirannya di dalam lif sebuah pangsapuri, bulan lepas.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman selepas remaja lelaki berusia 19 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 12 tahun.

Remaja itu didakwa telah meraba bahagian badan dari rambut hingga punggung mangsa bagi tujuan seksual di dalam lif sebuah pangsapuri di Taman Desa, Brickfields di sini, pada 4.38 petang, 10 Jun.

Pendakwaan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian remaja lelaki berkenaan telah meraba mangsa yang ketika itu berada di dalam lif bersama adik perempuannya berusia 10 tahun sebelum mangsa dan adiknya itu keluar daripada lif dan mengadu perkara yang berlaku kepada ibu mereka.

Laporan polis telah dibuat dan remaja lelaki itu akhirnya ditangkap pihak polis.

Terdahulu Pegawai Pembangunan Masyarakat Nur Khalidah Ab Hamid dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membacakan laporan sosial remaja itu berkata hasil temu ramah bersama remaja terbabit dan ibu bapanya, terdapat beberapa faktor antaranya persekitaran tempat tinggal dan pergaulan antara rakan sebaya yang mendorongnya melakukan perkara menyalahi undang-undang tanpa memikirkan kesan dan akibat.

Beliau berkata perintah khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan wajar dikenakan ke atas remaja berkenaan, kerana ia mampu mengubah mentalitinya ke arah remaja yang lebih matang dan berfikir sebelum melakukan apa-apa tindakan yang boleh menyalahi undang-undang.

“Memandangkan penama (remaja berkenaan) seorang yang pasif dan tidak pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran serta banyak mengelamun, hukuman ini bersesuaian dengan penama untuk mengembalikan penama kepada masyarakat,” katanya.

Nur Khalidah berkata Program Skill and Carrier @ CSO juga dapat diberikan kepada penama sebagai satu program pembangunan kerjaya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir manakala remaja itu tidak diwakili peguam.