• 2025-10-13 06:23 PM

JERTIH: Majlis Tindakan Bencana Daerah Besut akan menggunakan khidmat radio amatur termasuk walkie-talkie bagi melancarkan komunikasi ketika banjir khususnya di kawasan pedalaman daerah tersebut.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu berkata kerjasama akan dilakukan dengan Kelab Radio Amatur Utama Besut (Bestrac) yang bersedia menyalurkan kepakaran dan kelengkapan radio.

Beliau menyatakan penggunaan radio amatur penting terutama bagi mengatasi masalah gangguan liputan komunikasi ketika musim Monsun Timur laut khususnya melibatkan kawasan Hulu Besut.

Peralatan radio amatur akan digunakan untuk membantu pihak berkuasa dan agensi berkaitan menyalurkan maklumat kecemasan seperti penduduk sakit atau jalan terputus.

Azamuddin menekankan peralatan radio amatur mampu bertahan tiga hingga empat hari meskipun terputus bekalan elektrik.

Beliau berkata penggunaan radio amatur turut memudahkan pasukan penyelamat berhubung dengan penduduk di kawasan banjir menggunakan frekuensi ditetapkan.

Frekuensi khusus ini membolehkan tindakan penyelamatan dilakukan dengan pantas ketika kecemasan.

Seramai 75 wakil penduduk telah diberi taklimat dan latihan termasuk ada yang dibekalkan dengan walkie-talkie sebagai langkah persediaan berdepan banjir.

Banjir dijangka melanda daerah Besut awal bulan depan berdasarkan ramalan cuaca semasa.

Sebanyak 25 buah bot gentian kaca telah disediakan untuk keperluan banjir di daerah itu.

Seramai 509 orang petugas terdiri daripada pelbagai agensi akan ditugaskan sepanjang Monsun Timur laut.

Tujuh kawasan mudah banjir di daerah ini telah dikenal pasti antaranya Felda Tenang, Kampung Keruak dan Kampung La.

Penduduk yang terlibat banjir nanti diminta berpindah awal bagi mengelakkan mereka daripada terkandas di kawasan berisiko. – Bernama