KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia kini dilihat semakin menggemari pelancongan domestik dengan data Airbnb mendedahkan bahawa Malaysia merupakan negara paling kerap dikunjungi oleh tetamu tempatan pada tahun lepas.

Airbnb dalam kenyataan memaklumkan perkembangan berkenaan mencerminkan kebangkitan semula minat terhadap pengalaman tempatan dan penemuan khazanah tersembunyi ‘di rumah sendiri’.

Walaupun bandar utama terus menjadi pilihan, destinasi unik seperti Hulu Langat, Selangor dan Kinta, Perak turut tersenarai dalam 10 lokasi paling kerap dikunjungi pelancong tempatan menerusi Airbnb pada 2024, membuktikan kecenderungan baharu rakyat Malaysia terhadap percutian berasaskan alam semula jadi dan jauh dari kesibukan kota.

Data Airbnb juga menunjukkan masyarakat tempatan lebih gemar memilih destinasi percutian berdekatan dengan tempat tinggal manakala Jepun, Korea Selatan, Thailand, Indonesia dan Australia merupakan destinasi luar negara paling popular dalam kalangan tetamu Airbnb dari Malaysia tahun lepas.

Kuala Lumpur pula tersenarai antara tiga bandar paling banyak ditempah di Asia Tenggara oleh pelancong antarabangsa menerusi Airbnb pada tempoh sama, seiring dengan destinasi popular seperti Bangkok sekali gus membuktikan reputasi Malaysia sebagai pemain utama dalam industri pelancongan serantau.

“Rakyat Malaysia semakin menghargai keindahan negara sendiri dan itu satu perkembangan yang sangat positif,” kata Ketua Negara Airbnb bagi India dan Asia Tenggara Amanpreet Bajaj.

Beliau berkata generasi milenial terus memainkan peranan dalam merancakkan sektor pelancongan domestik.

“Kedudukan Kuala Lumpur dalam senarai tiga bandar utama di Asia Tenggara pilihan pelancong antarabangsa menunjukkan potensi besar Malaysia untuk meraih lonjakan pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Antara negara utama menjadi penyumbang ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia melalui Airbnb ialah Singapura, China, Indonesia, Amerika Syarikat dan Korea Selatan manakala destinasi tempatan popular tumpuan pelancong berkenaan merangkumi Johor Bahru, Pulau Pinang, Petaling Jaya, Melaka, Langkawi dan Kuching.

Menurut kenyataan itu, individu berusia 30 hingga 39 tahun yang tergolong dalam generasi milenial adalah penyumbang utama kepada jumlah tempahan Airbnb tempatan pada 2024.

Selain itu, tempahan penginapan jangka panjang di Malaysia meningkat 17 peratus berbanding tahun sebelumnya sekali gus mencerminkan masyarakat lebih memilih melancong dengan lebih tenang dan santai.

Pada masa sama, pelancong solo meningkat 31 peratus yang membuktikan minat semakin ketara terhadap pengembaraan bersifat peribadi.