PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sudah mengenal pasti dan menggantung lesen operasi agensi pelancongan yang disyaki mengoperasikan bot laju yang didakwa memasuki perairan Filipina secara haram pada Ahad lepas.

MOTAC dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan lesen operasi agensi terbabit digantung sementara bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan untuk menentukan sama ada mereka terlibat dalam isu berkenaan.

Penggantungan lesen operasi itu akan kekal sehingga siasatan selesai dan terbukti agensi itu tidak terlibat dalam sebarang aktiviti haram.

“Sekiranya siasatan mendapati sebarang kesalahan oleh agensi pelancongan itu atau mana-mana entiti lain yang terlibat, tindakan sewajarnya akan diambil termasuk penggantungan lesen secara kekal,“ menurut kenyataan itu.

Pada Ahad, pihak berkuasa Filipina menahan 15 individu terdiri tujuh rakyat Malaysia dan lapan warga China selepas disyaki memasuki perairan negara itu secara haram.

Memetik laporan Philippines News Agency (PNA), Pesuruhjaya Biro Imigresen (BI) Filipina Norman Tansingco, melalui kenyataan berkata mereka ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut Filipina dan Tentera Darat Filipina di kawasan perairan Sitangkai, dekat Tawi-Tawi di wilayah Selatan negara berkenaan.

MOTAC dalam kenyataan sama memaklumkan menurut pengesahan Kementerian Luar hanya tiga warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Filipina dalam kes berkenaan.

“Individu-individu ini ditahan kerana memasuki perairan Filipina secara tidak sah.

“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut pihak berkuasa Filipina mendapati mereka pelancong sah yang mengunjungi kawasan itu untuk aktiviti memancing tanpa sebarang niat jenayah,“ menurut MOTAC.

MOTAC memberi peringatan kepada semua agensi pelancongan di Malaysia agar memastikan pakej pelancongan dan pengaturan perjalanan yang ditawarkan mematuhi peraturan dan undang-undang.

Kementerian juga memperingatkan bahawa tindakan mempromosikan pakej pelancongan yang merangkumi lawatan ke dua atau beberapa negara dalam sehari satu pelanggaran undang-undang yang serius.

“Pematuhan kepada undang-undang penting untuk mengekalkan integriti industri pelancongan serta memastikan keselamatan serta kesahihan aktiviti perjalanan,“ menurut kenyataan itu.