• 2025-09-16 04:23 PM

NANNING: Penyedia penyelesaian kecerdasan buatan utama China Runjian Co Ltd memuji sokongan kerajaan Malaysia terhadap inisiatif AI dan pelaburan dalam dua pusat data kendaliannya di negara ini.

Naib Presiden Runjian Athena Zhao menyatakan syarikat mereka terlibat dalam membangunkan dua pusat data di Johor Bahru dan Cyberjaya.

“Kami menyediakan perkhidmatan pusat data bagi syarikat utama termasuk YTL Corporation,“ katanya kepada peserta China International Press Communication Centre Asia Pasifik yang melawat ibu pejabat Runjian.

Zhao menjelaskan Runjian kini memberi tumpuan kepada ASEAN kerana kedekatan geografi dengan China dan hubungan baik antara kedua-dua pihak.

“ASEAN sangat aktif, terutamanya Malaysia, yang telahpun menjadi tumpuan pelaburan asing,“ katanya sambil menambah persekitaran pelaburan Malaysia lebih mesra berbanding negara lain.

Perniagaan luar negara Runjian semakin berkembang pesat dengan penubuhan anak syarikat di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Syarikat itu memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu, pusat data dan aplikasi AI dengan menyediakan penyelesaian setempat untuk pelanggan ASEAN.

Runjian juga menjalin kerjasama penyelidikan industri dengan Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Teknologi Malaysia.

China-ASEAN Artificial Intelligence Collaborative Innovation Centre menyatakan Malaysia meneraju negara anggota ASEAN dalam pelan induk Pusat Inovasi Kolaboratif Kepintaran Buatan China-ASEAN. – Bernama