• 2025-10-15 06:55 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan membuka laman web khas mulai esok untuk memudahkan rakyat Malaysia yang menggunakan Lesen Memandu Singapura memohon BUDI MADANI RON95.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif ini bertujuan membantu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan terpaksa menggunakan lesen memandu republik itu untuk tujuan pekerjaan.

Beliau menyatakan keprihatinan kementerian terhadap maklum balas pekerja Malaysia di Singapura mengenai pelaksanaan BUDI95 terutama dalam sektor perkhidmatan seperti pemandu bas dan pekerja operasi.

Laman sesawang tersebut boleh diakses di www.BUDI95lesenSG.jpj.gov.my mulai 16 Oktober.

Status kelayakan boleh disemak selepas 14 hari melalui portal rasmi www.budi95.gov.my.

Semua permohonan akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk penelitian kelayakan berdasarkan tiga syarat utama.

Pemohon mestilah warganegara Malaysia yang memiliki Lesen Memandu Singapura masih sah dan mempunyai status permit pekerjaan di republik itu.

Subsidi BUDI95 kekal hanya untuk kenderaan yang didaftarkan di Malaysia sahaja.

Rakyat Malaysia yang tidak lagi bekerja di Singapura boleh memohon semula Lesen Memandu Malaysia setelah membatalkan lesen Singapura mereka.

Loke berharap langkah ini dapat membantu memudahkan urusan warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura untuk mendapatkan pertimbangan sewajarnya dalam program subsidi bahan api negara. – Bernama