• 2025-08-04 12:29 PM

KEPALA BATAS: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM33.82 juta dalam operasi dan serbuan yang dijalankan di negeri ini sejak Januari hingga bulan lepas.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata dalam tempoh sama, pihaknya menahan 14,146 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

“Sebanyak 4,498 kertas siasatan berkaitan pengedaran dan pemilikan dadah dibuka dalam tempoh tujuh bulan pertama ini dengan 4,170 kes telah dituduh di mahkamah. Sebanyak 7,938 siasatan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 251 individu dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C(1) akta sama,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelupusan Barang Kes Dadah 2025 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang di sini hari ini.

Mohd Alwi berkata lebih 120 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM2 juta melibatkan rampasan dari 2010 hingga 2024 dilupuskan hari ini bersama syarikat pengurusan sisa Kualiti Alam Sdn Bhd.

“Dadah dilupuskan melibatkan heroin dan monoacetylmorphine sebanyak 19,750 gram (g), kanabis (53,575.9g), ketamin (2,873.9g), methamphetamine (42,614.6g) dan pelbagai jenis pil psikotropik (2,087.1g). Pelupusan dijalankan mengikut prosedur ketat dan teknologi yang diperakui oleh Jabatan Alam Sekitar,“ jelasnya. – Bernama