• 2025-08-04 02:13 PM

SIBU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas di KM7, Jalan Oya-Dalat, Mukah, awal hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Chung Marn Cherk, beralamat di Jalan Rubber Barat, Kuching.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.37 pagi.

Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Mukah digegaskan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 33 kilometer dari balai itu.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Toyota Rush telah terbabas dan melanggar saluran air di tepi jalan.

“Mangsa (Chung) dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Pasukan bomba turut menjalankan tindakan lanjut dengan mencabut sambungan bateri dan menyembur air pada bahagian papan pemuka kereta itu berikutan terdapat kesan asap.

“Mayat dihantar ke Hospital Mukah oleh pihak polis sebelum ketibaan pasukan bomba. – Bernama