IPOH: Polis mengesahkan penemuan satu rangka manusia di sebuah ladang kelapa sawit di Ladang Bukit Besout, Jalan Kuala Slim, Slim River Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.13 petang berhubung penemuan rangka itu daripada orang awam.
“Hasil siasatan yang dibuat di lokasi kejadian dengan bantuan unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya menemukan hampir keseluruhan rangka manusia berkenaan kecuali kedua-dua tapak tangan.
“Rangka berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh,” katanya dalam kenyataan malam semalam.
Beliau berkata sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, saudara-mara, rakan atau kenalan agar dapat tampil membantu siasatan.