Your Title

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan sedang berusaha untuk memperluaskan rangkaian pusat kanser di Malaysia.

Beliau berkata selari dengan usaha itu, dua pusat baharu yang akan ditubuhkan ialah Pusat Kanser Wilayah Utara di Kedah dan Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan, Sarawak.

“Ini adalah satu langkah ke hadapan dalam memastikan rawatan kanser berkualiti dan dapat diakses oleh rakyat di seluruh negara tanpa mengira lokasi geografi,“ katanya ketika berucap di majlis perasmian Karnival Pink Oktober Institut Kanser Negara (IKN) 2024, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Fadillah berkata kerajaan sentiasa komited dalam memperkukuh sistem kesihatan negara, khususnya dalam meningkatkan akses kepada rawatan kanser yang berkualiti.

Justeru, katanya sumber akan terus diperuntukkan bagi meningkatkan penyelidikan, kemudahan rawatan serta program pencegahan kanser memandangkan beban yang ditanggung oleh pesakit dan keluarga.

Beliau berkata berdasarkan Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia yang terkini, kanser payudara terus menjadi ancaman utama bagi golongan wanita di negara ini dengan statistik menunjukkan kekerapan tertinggi iaitu 38.9 bagi setiap 100,000 wanita pada 2017-2021.

Katanya secara amnya, Malaysia menyaksikan peningkatan ketara dalam kes kanser yang dilaporkan antara 2017 hingga 2021.

Oleh itu, Fadhlina berkata amat penting untuk memperkukuh usaha bagi meningkatkan kesedaran, pencegahan, diagnosis awal, dan yang paling utama, memastikan rawatan berkualiti diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Karnival Pink Oktober tahun ini bertemakan “Living Well, Living Together”, mengangkat nilai kesedaran, kekuatan dan kebersamaan yang menekankan pentingnya pencegahan, pengesanan awal, dan rawatan yang tepat serta berkesan.