KUALA LUMPUR: Enam lelaki termasuk seorang warga asing didenda antara RM6,000 hingga RM10,000 oleh dua Mahkamah Sesyen di sini kerana memberi rasuah kepada pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membabitkan lesen perniagaan dan menggaji pekerja warga asing tanpa permit.

Di hadapan Hakim Suzana Hussin, Romzi Abidin, 53, didenda RM8,000 manakala Azhar Abu Bakar, 59, dan Idrus Muhamad, 38, masing-masing didenda RM6,000 selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan itu.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Sementara itu, Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap warga China Teng Hui, 52, dan memerintahkan Teng dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu manakala K. Punithan, 43, dan Jamaludin Asim, 58, didenda RM6,000 atau dipenjara tiga minggu.

Mengikut pertuduhan itu, keenam-enam tertuduh didakwa memberikan rasuah antara RM200 hingga RM500 kepada Pembantu Penguatkuasa KP19 Mohd Zahaymie Zakaria yang bertugas di Seksyen Integriti dan Standard DBKL.

Rasuah itu sebagai balasan dan dorongan untuk tidak mengambil tindakan sita di bawah kesalahan Seksyen 101 (1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 terhadap premis tertuduh atas kesalahan tidak mempunyai lesen perniagaan dan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit.

Perbuatan itu dilakukan di beberapa premis di Jalan Pudu dan Jalan Imbi di sini antara 18 Okt 2022 dan 18 Julai 2023 dan pertuduhan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras dan Pegawai Pendakwa Mohamad Ashraf Mustafa dan Afiqah Ab Razak daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan kes dan isu lesen ‘ali baba’.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan menanggung keluarga dan mereka mengakui kesalahan selain memohon maaf serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.