PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan lagi individu termasuk seorang pengarah agensi kerajaan dan tiga pengarah syarikat kerana disyaki terlibat dalam rasuah kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) tanpa memenuhi syarat.
Menurut sumber SPRM, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berbeza sekitar Melaka dan Lembah Klang menerusi ‘Op Loader’ yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM sekitar 9 pagi hingga 12 tengah hari tadi.
Sumber itu memaklumkan SPRM mendapati syarikat-syarikat serta pegawai agensi terlibat dipercayai bersekongkol untuk menyediakan maklumat palsu bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan permohonan baharu LKP Kelas Lesen Pembawa dengan bayaran RM3,500 setiap permohonan.
“Pihak syarikat akan membantu mana-mana pihak memalsukan dokumen seperti penyata bank dan menguruskan proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK) dan Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan perdagangan menjalani pemeriksaan awalan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),“ katanya.
Sumber itu berkata risikan SPRM mendapati berlaku unsur bayaran rasuah berjumlah RM3,000 hingga RM20,000 dalam sindiket itu yang bergantung kepada jenis dan usia kenderaan serta keupayaan syarikat yang memohon LKP.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek, katanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman.