PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan telah menetapkan 14 Ogos ini untuk mendengar rayuan akhir pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Pada tarikh sama, mahkamah itu akan turut mendengar permohonan Siti Bainun untuk mengemukakan bukti baharu pada prosiding rayuannya.

Peguam Haijan Omar mengesahkan perkara itu kepada Bernama selepas sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Nadia Azman di sini hari ini.

Siti Bainun, 33, memohon untuk memanggil Ismanira Abdul Manaf, ibu Zayn Rayyan Abdul Matin memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat oleh wanita itu pada 25 Julai tahun lepas membabitkan saksi pendakwaan dalam kesnya.

Perayu juga memohon untuk memanggil semula saksi pendakwaan kelima (Yasmin Nahar Mahmood) untuk pemeriksaan lanjut berhubung laporan polis itu.

Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dibicarakan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dan 21 Julai ini ditetapkan untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.

Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen memutuskan Siti Bainun bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, dan memerintahkan wanita itu dipenjara serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Siti Bainun kemudian dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman itu.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000 dan melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Sabitan dan hukuman itu turut dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Mei 2024.

Siti Bainun didakwa melakukan perbuatan itu sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.