• 2025-08-07 02:26 PM

KUALA LUMPUR: Reka bentuk stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang tidak dilengkapi pintu keselamatan platform dikenal pasti sebagai antara punca insiden melibatkan penumpang terutama Orang Kurang Upaya (OKU).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata stesen rel terdahulu terutamanya stesen LRT direka bentuk tanpa penghadang fizikal di antara platform dan tren, berbeza dengan kemudahan terkini seperti stesen Transit Aliran Massa (MRT) yang dilengkapi sistem keselamatan sepenuhnya.

“Jadi, sekarang ini Prasarana sedang melihat cadangan untuk kita memasang (pintu) antara platform dan rel walaupun bukan 100 peratus dapat menutup keseluruhan gap berkenaan tapi kita cuba meminimumkan supaya ada satu penghadang antara platform dan rel.

“Untuk melaksanakan ini (pemasangan pintu di stesen lama) memang memerlukan perbelanjaan yang cukup besar kerana kita kena reka bentuk semula kesemua stesen rel ini dan juga memerlukan masa yang panjang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang ingin tahu kelemahan utama yang telah dikenal pasti selepas tragedi seorang lelaki OKU penglihatan maut akibat terjatuh dan digilis tren di Stesen LRT Wangsa Maju pada Februari lepas.

Loke berkata buat masa ini, polis bantuan ditempatkan di stesen-stesen terbabit dan dilatih untuk lebih peka serta sensitif terhadap keperluan golongan OKU bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

Beliau berkata kerajaan sentiasa komited menambah baik aspek kebolehcapaian dan keterangkuman dalam sistem pengangkutan awam, termasuk menaik taraf kemudahan mesra OKU yang sedang giat dijalankan dan pemasangan lif di stesen-stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang lama dan di luar bandar.

“Operator perkhidmatan rel juga sentiasa menyediakan latihan kepada petugas barisan hadapan mereka dalam membantu serta memudah cara keperluan golongan OKU. Ini bertujuan untuk memastikan bantuan sewajarnya dapat diberikan kepada penumpang OKU secara profesional, empati dan efisien,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu usaha-usaha yang telah dan sedang diambil bagi memudahkan akses pengguna OKU dalam menggunakan pengangkutan awam.- BERNAMA