KULAI: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut dalam kemalangan yang melibatkan empat motosikal, sebuah kereta dan sebuah lori di Kilometer 4 Jalan Kulai-Kota Tinggi pada awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee menyatakan kejadian pada jam 1.05 pagi berlaku apabila kereta Perodua Bezza dipandu wanita tempatan berusia 26 tahun melanggar seekor lembu yang melintas jalan secara tiba-tiba.
Kereta tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke arah bertentangan dan bertembung dengan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa serta lori Hino dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun.
Tiga lagi motosikal yang ditunggang remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun dari arah sama pula tidak sempat mengelak lalu melanggar tepi dan belakang lori.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi pegawai penyiasat Insp Ahmad Safuan Abu Naim menerusi talian 017-7573507.
Beliau juga menggesa mereka yang mempunyai maklumat untuk hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bagi membantu siasatan. – Bernama