KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Lindungan, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu, G. Narashinmasegaran pada 2 petang semalam.

“Dia dilihat kali terakhir di rumahnya kira-kira 11.30 pagi dan berpakaian baju berwarna putih dengan corak belang di bahagian belakang, berseluar jean biru dan berkemungkinan membawa beg galas berwarna merah.

“Remaja berketinggian 160 sentimeter dengan berat 65 kilogram, berbadan kurus dan berambut hitam itu turut memakai jam tangan berwarna merah,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222.