MELAKA: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang disyaki menikam ibu dan abang kandungnya dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, semalam, direman tujuh hari bermula hari ini hingga 19 Jun depan.

Perintah reman terhadap remaja itu dikeluarkan Majistret N. Sivasangari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media semalam melaporkan seorang guru wanita berusia 51 tahun dan anak sulungnya berusia 21 tahun maut manakala anak bongsunya berumur 13 tahun, cedera parah dipercayai akibat ditikam di rumah mereka.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 5 pagi dan ibu tunggal bersama anak lelakinya itu ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu.

Polis menahan suspek yang berada di luar rumahnya yang ketika itu dalam keadaan termenung selain menemukan senjata dipercayai digunakan dalam kejadian iaitu pisau lipat berukuran 20 sentimeter dengan kesan darah, yang disimpan dalam beg sekolah di luar rumah.