KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Saujana Impian, Kajang, dekat sini petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata mangsa ditemui dalam bilik tingkat atas.

“Difahamkan ketika kejadian, ibu dan bapa mangsa berada di tempat kerja dan adiknya berada di sekolah jadi mangsa dipercayai bersendirian di kediaman keluarganya dan anggaran kemusnahan kebakaran ialah 80 peratus,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.20 petang sebelum anggota dan pegawai bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, BBP Bangi dan BBP Seri Kembangan bergegas ke lokasi kejadian.

“Kerja-kerja pemadaman berjaya dilakukan dan api telah padam sepenuhnya. Unit anjing pengesan (K9) dan forensik negeri juga berada di lokasi,” katanya.

Menurutnya punca kebakaran masih dalam siasatan.