• 2025-07-15 07:52 PM

JERTIH: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun menjadi mangsa sindiket penipuan telefon setelah menyerahkan barang kemas milik ibunya bernilai RM140,000 kepada individu tidak dikenali.

Kejadian itu berlaku selepas mangsa menerima panggilan daripada pihak yang mendakwa sebagai wakil Touch ‘n Go dan anggota polis.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Md Sani Md Salleh, remaja itu membuat laporan pada Sabtu lepas setelah menyedari dirinya ditipu.

Mangsa yang sedang menunggu panggilan untuk menyambung pengajian itu dikatakan ketakutan apabila dituduh terlibat dalam kes penipuan dan penggubahan wang haram.

“Tiga individu yang menelefon mangsa mendakwa maklumat peribadinya telah disalahgunakan. Mangsa kemudian bertemu seorang wanita di sebuah pasar raya di Jertih dan menyerahkan barang kemas tersebut,“ katanya dalam kenyataan.

Suspek berjanji akan memulangkan barang kemas itu tetapi kemudian memberitahu mangsa bahawa barang tersebut diambil oleh Unit Forensik PDRM untuk siasatan. Mangsa diminta membayar RM28,000 sebagai jaminan sebelum membuat laporan polis. - Bernama

Polis berjaya menahan seorang wanita berusia 37 tahun di Kuala Besut semalam. Suspek direman empat hari bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.