• 2025-10-22 02:42 PM

BALIK PULAU: Reman terhadap fasilitator lelaki yang disyaki mencabul empat murid lelaki tahun enam ketika program motivasi di sebuah kem di Kampung Genting di sini telah disambung tiga hari lagi bermula hari ini.

Perintah sambung reman sehingga 25 Oktober itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Siasatan lanjut tersebut dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Sungai Petani, Kedah pada 15 Oktober lepas.

Suspek tersebut telah direman selama tujuh hari yang berakhir pada hari ini.

“Polis mendapat tiga hari lagi reman terhadap lelaki berkenaan iaitu bermula hari ini hingga 25 Oktober,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan suspek ditahan selepas polis menerima laporan oleh guru besar sekolah murid terlibat.

Guru besar tersebut mendakwa kejadian berlaku pada tengah malam 12 Oktober ketika program motivasi yang membabitkan murid sebuah sekolah kebangsaan di Kerian, Perak.

Empat murid berkenaan mendakwa sedang tidur di dalam dorm yang menempatkan murid lelaki sebelum suspek dikatakan menyentuh beberapa bahagian badan mereka.

Siasatan turut mendapati lelaki yang ditahan itu merupakan fasilitator jemputan di kem tersebut.

Semua mangsa hanya menceritakan kejadian tersebut kepada guru besar selepas pulang dari kem berkenaan. – Bernama