KUALA TERENGGANU: Tempoh reman pasangan suami isteri bagi membantu siasatan kegiatan pengedaran dadah disambung enam hari lagi, bermula hari ini.
Perintah berkenaan dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak di Mahkamah Majistret di sini terhadap lelaki berusia 34 tahun dan isterinya berusia 37 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, pasangan berkenaan ditahan pada 1 Sept lepas dan direman seminggu bermula 2 Sept setelah ditahan di Taman Permint Jaya Fasa 4, Jalan Kubang Ikan, di sini.
Ketika tangkapan, polis merampas 5.7 kilogram pil yaba dan 631.9 gram erimin 5 bernilai RM768,000 selain menyita kereta Volkswagen Golf GTI 2.0, Honda Jazz S, motosikal Yamaha RXZ, dua motosikal Yamaha Y15ZR selain barang kemas serta helmet Shoei J-Force ll dengan nilai keseluruhan RM284,700.
Polis turut menyita wang tunai RM79,000 dalam milikan pasangan itu.
Pasangan yang berasal dari Terengganu itu dipercayai aktif mengedar dadah untuk pasaran negeri ini sejak awal tahun lepas.