MANILA: Ribuan rakyat Filipina turun ke jalanan di seluruh negara pada Ahad untuk menyuarakan kemarahan terhadap dakwaan rasuah dalam projek kawalan banjir kerajaan yang bernilai berbilion dolar, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Di Manila, protes itu diadakan di Taman Luneta dan Monumen Kuasa Rakyat EDSA, yang memperingati kebangkitan besar-besaran rakyat yang menggulingkan mendiang bapa Presiden Ferdinand Marcos Jr. pada 1986 kerana rasuah yang berleluasa dan pencabulan hak asasi manusia.
Demonstrasi di Manila yang dihadiri kira-kira 130,000 orang, menurut penganjur adalah yang terbesar setakat ini di Filipina berhubung skandal itu sejak Marcos Jr. mengarahkan siasatan terhadap projek yang mencurigakan itu pada Julai.
Sebahagian penunjuk perasaan di Taman Luneta, dianggarkan 80,000 orang, berarak ke arah Istana Presiden Malacanang tetapi dihalang oleh polis, yang menyekat jalan dengan sebuah trak panjang.
Sekumpulan penunjuk perasaan muda yang memakai topeng mula membaling batu ke arah barisan polis dan membakar tayar sambil melaungkan, “Untuk negara!”
Beberapa orang, termasuk polis, beberapa penunjuk perasaan dan wartawan cedera dalam konfrontasi itu. Sekurang-kurangnya 12 penunjuk perasaan, kebanyakannya yang ditangkap memakai topeng, menurut polis.
“Ramai yang marah, dan saya di sini bersama keluarga dan rakan-rakan mahu menunjukkan yang kami adalah antara mereka yang marah dengan pencuri,“ kata Raymond Mendros, yang bersama keluarga dan rakan di perhimpunan di Taman Luneta.
“Ia benar-benar mengecewakan,“ katanya. “Dengan jumlah wang yang diperuntukkan untuk projek ini, sepatutnya tiada lagi banjir, tetapi masih ada banjir!”-BERNAMA-dpa