KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, apabila data ekonomi negara maju itu terus menunjukkan kelembapan berikutan kebimbangan terhadap tarif dan dasar fiskal, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2140/2335 berbanding dolar AS daripada 4.2245/2295 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.05 peratus kepada 98.741 mata ekoran data ekonomi AS menunjukkan tanda-tanda kelembapan selanjutnya.
“Tuntutan Awal Pengangguran meningkat kepada 247,000 minggu lepas sekali gus menandakan kenaikan minggu kedua berturut-turut, manakala Tuntutan Pengangguran Berterusan bertambah kepada 1.904 juta bagi minggu berakhir pada 24 Mei, 2025.
“Tumpuan malam ini adalah kepada pembayaran gaji bukan ladang (NFP), yang dijangka mencecah 125,000 pada Mei (secara konsensus) berbanding data bulan sebelumnya pada 177,000,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata mata wang pasaran yang sedang pesat membangun, termasuk ringgit, telah meningkat berbanding dolar AS, didorong oleh prospek ekonomi AS yang lemah, kebimbangan berterusan mengenai tarif serta dasar fiskal.
Keadaan pasaran semasa telah menyimpang daripada kelaziman -- dolar AS sentiasa dianggap sebagai mata wang selamat -- dengan peniaga dan pelabur biasanya berpusu-pusu beralih kepada dolar AS untuk mencari perlindungan daripada turun naik yang melampau.
“Pelabur dan peniaga akan terus berhati-hati terhadap kesan dasar tarif AS ke atas ekonomi global serta ketegangan terbaru antara Presiden AS, Donald Trump dan Elon Musk mengenai kedudukan belanjawan kerajaan, yang mungkin mencetuskan lebih banyak ketidaktentuan terhadap sentimen pasaran.
Sehubungan itu, Mohd Afzanizam berkata ringgit mungkin terus mengukuh berdasarkan keadaan semasa, dan berpotensi mencecah RM4.20 dalam tempoh terdekat.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9343/9481 daripada 2.9495/9531 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding pound British kepada 5.7226/7491 daripada 5.7301/7369.
Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding euro kepada 4.8263/8486 daripada 4.8235/8292 semalam.
Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang negara ASEAN.
Unit domestik lebih stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.2758/2915 daripada 3.2881/2922 ketika ditutup pada Khamis, dan sedkit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 258.7/260.1 daripada 259.3/259.8.
Ringgit lebih kukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9157/9854 daripada 12.9925/13.0138, dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.57/7.62 daripada 7.59/7.61.