KUALA LUMPUR: Ringgit melepasi paras RM2.99 berbanding yen Jepun, kali terakhir dicatat pada Jun tahun 2015 dalam dagangan awal pada Selasa.

Pada jam 9 pagi, ringgit kepada 2.9984/3.0012 berbanding yen Jepun, selepas itu, ringgit didagangkan pada 3.001/0022 berbanding yen pada 10.42 pagi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perbezaan kadar faedah yang jauh berbeza dengan kadar faedah Jepun mungkin telah memberi kelebihan kepada ringgit.

Beliau berpendapat penguncupan 0.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama Jepun menunjukkan bahawa skop kadar dasar lebih tinggi oleh penggubal dasar kelihatan terhad dan mungkin memberi manfaat kepada ringgit.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan, UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pada Isnin bahawa penggubal dasar Jepun berkata mereka akan mengurangkan pembelian bon kerajaan, ia mungkin memberi petunjuk mengenai peralihan dalam pendekatan.

“Terdapat spekulasi bahawa mereka mungkin menaikkan kadar faedah sebanyak 0.1 peratus menjelang akhir Julai berdasarkan peralihan perdagangan, bergantung pada keyakinan Bank of Japan untuk mencapai sasaran inflasi 2.0 peratus mereka,” katanya.

Mata wang Jepun mengalami kejatuhan yang berpanjangan, menjejaskan penggunaan domestik dalam persekitaran kos import yang lebih tinggi.

Menteri Kewangan Jepun Shunichi Suzuki awal hari ini berkata beliau bimbang mengenai implikasi negatif kelemahan yen ketika ini.

Sehubungan itu, kerajaan akan memantau pasaran mata wang dengan teliti dan mengambil tindakan sewajarnya jika perlu.