SHAH ALAM: Sebanyak RM10 juta diluluskan kerajaan negeri Selangor bagi membaiki segera cerun yang runtuh di Taman Bukit Mewah, Kajang yang turut menjejaskan 27 unit rumah di kawasan tersebut.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim berkata masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama itu kini semakin serius dan kesemua penghuni di 27 rumah terbabit telah mengosongkan kediaman masing-masing.
Izham berkata pihaknya akan membuat lawatan ke kawasan tersebut pada Ahad ini bagi meninjau keadaan cerun itu dan kerja pembaikan yang dilakukan dibuat menggunakan kaedah kecemasan dan tidak menggunakan kaedah tender biasa memandangkan keadaan runtuhan yang kini serius.
“Peruntukan segera RM10 juta itu akan digunakan bagi menstabilkan tanah, sebab sudah boleh nampak struktur binaan dalam tanah di cerun itu,” katanya kepada media di sini hari ini.
“Sekarang proses pengosongan rumah diuruskan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan penduduk kini menyewa di tempat lain dengan juga dibantu oleh MPKJ. Arahan pengosongan itu dibuat baru-baru ini,” katanya. - Bernama