KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan Selamat Hari Gawai dan Pesta Kaamatan kepada masyarakat Sabah dan Sarawak yang meraikannya.

Pesta Kaamatan dan Hari Gawai adalah lambang kekayaan warisan budaya serta semangat kesyukuran atas rezeki hasil tuaian serta sambutannya memperlihatkan betapa tingginya nilai perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

“Ia juga merupakan usaha memelihara dan memartabatkan budaya serta adat resam nenek moyang yang menjadi khazanah warisan negara. Semangat gotong-royong, kesatuan dan saling menghormati yang terpancar dalam sambutan ini wajar dijadikan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia dalam memperkukuh semangat kebangsaan dan keharmonian.

“Semoga sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai pada tahun ini disambut dengan penuh kegembiraan, namun tetap memelihara nilai kesederhanaan dan keselamatan. Marilah kita bersama-sama berdoa agar negara terus dikurniakan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan,” menurut hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang.