• 2025-07-06 01:29 PM
RM13.5 juta untuk bina, baik pulih 293 Rumah Asnaf - Mohd Na’im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar - BERNAMA

PASIR PUTEH: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM) melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memperuntukkan RM13.5 juta sejak 2020 hingga Mei lepas bagi melaksanakan 293 projek pembinaan dan baik pulih kediaman untuk golongan asnaf di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata daripada jumlah itu, 167 projek melibatkan kerja baik pulih rumah manakala 126 projek pembinaan rumah baharu.

“Setakat ini, 199 projek telah siap sepenuhnya manakala 94 lagi sedang dalam proses pembinaan. Ini adalah hasil sumbangan masyarakat melalui Tabung Amanah YAPIEM yang disalurkan semula kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Serahan Rumah Program Sinar Lestari dan Sinar Kasih YAPIEM di Kampung Merkang di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan MADANI bagi memastikan kebajikan golongan asnaf terbela, khususnya dari segi penyediaan tempat tinggal yang selamat dan selesa.

Pada majlis tersebut, empat penerima Nor Liza Hassan, 51, Mohd Azhar Mat Hussin, 43, Norizan Jusoh, 51, dan Qus Yai Rita Zakaria, 33, terpilih di bawah kategori eKasih Negeri Kelantan iaitu bantuan bina baharu kediaman dengan peruntukan keseluruhan RM320,000.

Program Sinar Lestari YAPIEM itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (PPPNK) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi tujuan pemilihan, pengesahan, serta pembinaan rumah penerima manfaat.

Sementara itu, Nor Liza berkata penantian selama 14 tahun untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai apabila terpilih menerima bantuan kediaman di bawah program tersebut.

Suri rumah itu yang kini hanya melakukan kerja sambilan menjual produk ubat resdung secara dalam talian kerana perlu menjaga suaminya, Mohd Ridzuan Nawi, 52, yang terlantar sejak 2011 akibat terjatuh dari pokok, menyifatkan bantuan itu sebagai anugerah amat bermakna.

“Saya sentiasa memohon bantuan rumah sejak 14 tahun lepas dan akhirnya tahun lepas permohonan diluluskan memandangkan suami lumpuh dan perlu diangkat sepenuhnya,” katanya yang turut menyara dua anak berusia 17 dan 18 tahun, yang masih bersekolah dan menyambung pengajian di Matrikulasi Kelantan, Kok Lanas, Kota Bharu.

Nor Liza yang turut menjadi ejen biskut raya ketika bulan puasa bagi menambah pendapatan, merancang untuk membuka gerai menjual nasi lemak atau makanan bergoreng bergantung kepada kesesuaian dengan tanggungjawab menjaga suaminya.

“Saya hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memandangkan suami bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah sebelum ini.

“Saya sentiasa berdoa untuk memiliki rumah berdekatan keluarga kerana sebelum ini kami tinggal di Kampung Perupok, Bachok,” katanya.

Pada majlis sama, bantuan Sinar Kasih berjumlah RM9,600 turut disampaikan kepada Nik Shazrina Nik Mohd Zulkiflee, seorang ibu tunggal yang kehilangan suami akibat kemalangan jalan raya pada tahun lepas.