BAGAN SERAI: Sebanyak RM15.9 juta diperuntukkan melalui Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan bagi membolehkan jabatan serta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) membangunkan infrastruktur ladang selain membuat perolehan teknologi dan penyampaian perkhidmatan berkaitan kepada golongan sasar di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM11 juta digunakan bagi perolehan jentera, mesin serta sistem pertanian manakala RM2.6 juta lagi untuk pembangunan ladang, bangunan dan kemudahan.
Beliau berkata bakinya diperuntukkan bagi pembekalan alat ganti jentera, mekanisasi serta automasi pertanian dan sebagainya.
“Ini menjadi bukti kerajaan tidak hanya bercakap mengenai transformasi digital dalam pertanian tetapi telah mengambil langkah bagi memastikan setiap petani dapat merasai manfaat teknologi moden.
“Teknologi mesti dibawa ke semua lapangan agar kita dapat meningkatkan hasil pertanian, mengurangkan kos operasi dan menjadikan sektor ini lebih mampan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Jentera dan Peralatan Pertanian Peringkat Negeri Perak 2025 di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini hari ini.
Sementara itu Arthur berkata program hari ini menyaksikan sebanyak RM643,985.72 diperuntukkan melibatkan pemberian jentera kecil dan sederhana secara geran padanan kepada 185 orang penerima dari 20 Pertubuhan Peladang Kawasan seluruh Perak.
Beliau berkata langkah itu merupakan antara usaha KPKM dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyokong usaha para petani serta peladang dalam memastikan keterjaminan makanan negara.
“Melalui inisiatif ini, para petani serta peladang akan dapat mengurangkan kos operasi, menyediakan tanah pertanian yang berkualiti, menambah pendapatan melalui upah kerja pertanian dan sebagainya,” katanya.