KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan dana hampir RM417 juta untuk memperkasa komuniti usahawan India melalui pelbagai inisiatif baharu dan sedia ada.
Timbalan Menteri KUSKOP Datuk Seri R. Ramanan menjelaskan, peruntukan tersebut merangkumi program pembiayaan pinjaman dan geran padanan.
Antara inisiatif utama tahun 2024 termasuk Program Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) bernilai RM50 juta dan Program Business Accelerator Untuk Syarikat Milikan India (i-BAP) dengan geran RM6 juta.
“Kesemua projek ini melibatkan peruntukan tambahan RM136 juta untuk meningkatkan daya saing usahawan India di peringkat nasional,“ katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi tahun 2025, KUSKOP mengumumkan tambahan RM50 juta untuk BRIEF-i, SPUMI Goes Big, dan program PENN, selain memperkenalkan Vanigham Financing for Indian Entrepreneurs dengan peruntukan RM50 juta.
Ramanan menekankan bahawa kebanyakan program ini menawarkan pinjaman kadar rendah untuk usahawan yang telah melepasi tahap B40.
“Kami akan pertimbangkan cadangan geran tanpa pinjaman seperti yang disarankan,“ tambahnya.
Mengenai keberkesanan program, seramai 7,074 penerima telah manfaatkan program PENN melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), dengan kadar bayaran balik kurang satu peratus.
Manakala, program SPUMI di bawah TEKUN Nasional telah membantu 3,470 usahawan dengan pinjaman RM88.1 juta.
“Rekod bayaran balik mereka sangat memberangsangkan,“ jelas Ramanan sebagai respons kepada soalan tambahan mengenai kejayaan program SPUMI dan PENN. – Bernama