KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM51 bilion kepada sektor keselamatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjadikan keselamatan sebagai asas utama kestabilan dan kemajuan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan bahawa peruntukan besar ini akan digunakan untuk memacu pelbagai inisiatif penting termasuk pemodenan operasi keselamatan dan penambahbaikan kebajikan anggota di barisan hadapan.
“Dengan peruntukan RM51 bilion kepada sektor keselamatan, ini satu isyarat jelas bahawa kerajaan mengiktiraf keselamatan sebagai tiang seri kepada kestabilan dan kemajuan negara,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyatakan penghargaan atas penekanan serius kerajaan terhadap kebajikan warga keselamatan, termasuk penyediaan kuarters untuk mereka.
Lebih 82,000 unit pelbagai fasa pembinaan dan baik pulih sedang dilaksanakan.
“Penyediaan 1,368 unit kuarters baharu Polis Diraja Malaysia dan 3,088 unit kuarters Angkatan Tentera Malaysia telah siap, ditambah 8,501 unit lagi sedang dibina serta 69,141 unit kuarters sedia ada yang sedang dibaik pulih menjadi langkah bermakna dalam menjaga kesejahteraan mereka dan ahli keluarga masing-masing,“ jelasnya.
Saifuddin Nasution menegaskan bahawa usaha berterusan dalam RMK13 untuk meningkatkan infrastruktur, kemudahan, dan sokongan kepada warga keselamatan amat dialu-alukan.
“Kita tidak boleh mengharapkan pasukan keselamatan kita untuk berkhidmat dengan cekap dan berdedikasi sekiranya keperluan asas mereka seperti tempat tinggal yang selesa, persekitaran yang kondusif serta jaminan sosial diabaikan,“ tambahnya.
Beliau turut menyambut baik usaha kerajaan memodenkan sistem imigresen negara melalui Sistem Imigresen Bersepadu Nasional dan penggunaan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan.
“Pendekatan ini membolehkan pasukan keselamatan negara berfungsi dengan efisien, responsif dan strategik dalam menangani cabaran semasa serta meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan di sempadan darat dan maritim,“ katanya. – Bernama