KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau percaya RM60.6 juta yang diterimanya dalam akaun peribadi AmIslamic Bank adalah sumbangan Allahyarham Raja Abdullah seperti disahkan oleh bekas Menteri Arab Saudi iaitu Adel Al-Jubair.
Najib, 71, berkata beliau telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bahawa pemindahan wang sebanyak RM60,629,839.93 daripada Putera Faisal bin Turki bin Bandar Al-Saud dan Putera Saud bin Abdulaziz Al Saud kepadanya adalah sumbangan daripada pemerintah Arab Saudi itu.
“Semasa siasatan, saya ingat bahawa saya telah dirujuk kepada beberapa Slip Kiriman Wang Ambank. Bagaimanapun, saya tidak dimaklumkan bagaimana kiriman wang itu mempunyai kaitan dengan mana-mana dakwaan salah guna kedudukan yang dikatakan dilakukan oleh saya.
“Saya hanya membaca butiran sebagaimana yang tertera pada dokumen dan tidak diminta sebarang penjelasan lanjut daripada saya oleh pegawai yang merakam keterangan. Proses siasatan pada bila-bila masa tidak menonjolkan atau menyoal siasat saya mengenai jumlah RM60,629,839.93 itu,“ kata bekas Perdana Menteri itu ketika membacakan jilid pertama pernyataan saksinya yang setebal 525 halaman.
Beliau berkata demikian ketika membela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Pada 30 Okt lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas kesemua 25 pertuduhan setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Najib juga berkata beliau ingat bahawa pegawai penyiasat telah menyatakan bahawa wakil Putera Faisal tidak pernah menafikan bahawa kiriman wang itu adalah sumbangan atau surat terbabit datangnya daripada pihak mereka.
“Malah bekas Menteri Arab Saudi itu, Adel Al- Jubair telah mengesahkan bahawa sumbangan tersebut adalah tulen,“ katanya dalam pembelaan membabitkan pertuduhan pertama terhadap beliau.
Mengikut pertuduhan itu, Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB telah menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM60,629,839.43 dengan mengambil empat tindakan antara 24 Feb 2011 dan 14 Jun 2011 di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di sini.
Najib juga berkata sebelum kiriman wang itu, beliau telah dimaklumkan secara peribadi oleh Allahyarham Raja Abdullah semasa sesi menghadap pada 2010, di mana baginda menyampaikan hasrat iberkenaan melalui jurubahasa.
“Baginda berhasrat untuk membantu saya dari segi kewangan malah saya telah menerima kiriman wnag daripada Bank Riyadh, Arab Saudi.
“Saya juga telah menerima surat mengesahkan sumbangan Arab Saudi ini daripada Allahyarham Raja Abdullah melalui wakilnya yang dipanjangkan kepada AmIslamic dan Bank Negara Malaysia (BNM),“ katanya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata atas dasar ini dan cadangan bekas Setiausaha Sulitnya, Allahyarham Datuk Azlin Alias, beliau telah bersetuju untuk membuka akaun di AmIslamic Bank secara peribadi untuk menerima kesemua sumbangan politik ini.
Beliau juga berkata AmBank atau BNM tidak pernah menyatakan sebarang syak wasangka atau amaran berkaitan kiriman wang itu selain tidak bertanya mengenai kesahihan sumbangan tersebut atau dokumen sokongan yang dibeirkan kepada pihak bank.
Perbicaraan bersambung esok.