KUALA LUMPUR: Pendidikan awal kanak-kanak akan diwajibkan pada umur lima tahun manakala sekolah berasaskan komuniti untuk masyarakat Orang Asli, penduduk rumah panjang, dan kawasan pedalaman akan diperluas.
Ini antara reformasi pendidikan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menurut dokumen RMK-13 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi, reformasi pendidikan menjadi tulang belakang perubahan struktur di bawah RMK-13.
Fokus utama termasuk meningkatkan kemahiran pelajar, kompetensi guru, serta kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Lapan strategi utama dilaksanakan untuk mereformasi sistem pendidikan negara:
1. Memperkukuh tadbir urus
2. Merasionalisasikan fungsi institusi pendidikan
3. Meningkatkan keberhasilan pendidikan
4. Menambah baik penilaian pembelajaran
5. Memantapkan kompetensi guru
6. Meningkatkan pelaburan pendidikan
7. Memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat
8. Memperkukuh ekosistem TVET
“Pendidikan rendah akan dimulakan pada umur enam tahun selaras amalan antarabangsa. Bahasa Inggeris akan dijadikan sebahagian bahasa pembelajaran di peringkat awal,“ menurut dokumen tersebut.
Akta baharu akan digubal bagi mengawal selia pendidikan awal kanak-kanak, manakala mekanisme kawal selia pendidikan alternatif turut diperkukuh.
Majlis Pendidikan Negara akan diwujudkan untuk memantau sistem pendidikan negara agar lebih progresif.
Projek rintis autonomi universiti akan dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing institusi pengajian tinggi.
Pendidikan untuk murid berkeperluan khas juga diperluas dari peringkat prasekolah hingga menengah.
Kajian semula waktu persekolahan optimum dan model pendidikan pelajar pintar cerdas turut dijalankan.
Skim praktikal wajib berbayar diperkenalkan untuk meningkatkan keberhasilan graduan.
Pelaburan pendidikan akan ditambah baik dengan penyediaan fasiliti mengikut keperluan.
Pembinaan sekolah vertikal diperluas bagi menangani isu kepadatan pelajar.
Platform tunggal penajaan pendidikan akan diwujudkan bagi meningkatkan ketelusan pengurusan pembiayaan. – Bernama