KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan lima strategi utama dalam reformasi sektor kesihatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Antara fokus utama termasuk pembaharuan pembiayaan, promosi kesihatan bersepadu, dan pengukuhan sistem digital kesihatan.
Menurut dokumen RMK13 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi, strategi pertama melibatkan reformasi pembiayaan dan tadbir urus kesihatan.
“Sistem penggredan akan dilaksanakan melalui pelabelan mandatori pada bahagian depan bungkusan untuk mengurangkan kandungan gula dan garam dalam produk makanan dan minuman,“ jelas dokumen tersebut.
Strategi kedua ialah memperkukuh promosi kesihatan secara bersepadu merentas sektor.
Jawatankuasa penyelaras peringkat tinggi akan dibentuk bagi memantau keperluan tenaga kerja kesihatan.
Selain itu, rangka kerja pembangunan profesional peringkat kebangsaan akan dibangunkan untuk memastikan pengurusan sumber manusia yang lebih responsif.
Dari segi perundangan, kerajaan akan meminda akta berkaitan pemindahan organ dan tisu serta menggubal rang undang-undang kapasiti mental.
“Platform digital perkongsian maklumat kesihatan akan dibangunkan bagi membolehkan penyedia perkhidmatan awam dan swasta bekerjasama dengan lebih efektif,“ tambah dokumen itu.
Sektor farmaseutikal turut diberi perhatian dengan penambahbaikan sistem regulatori kebangsaan.
Program Dana Pembangunan Vaksin Negara akan diperkukuh bagi meningkatkan penyelidikan dan penghasilan vaksin tempatan.
Sistem penjejakan produk farmaseutikal juga akan dibangunkan untuk memastikan pengurusan logistik yang lebih cekap.
RMK13 menetapkan empat sasaran utama termasuk pengurangan perbelanjaan kesihatan daripada poket sendiri kepada 32 peratus menjelang 2030.
Kadar kematian akibat penyakit tidak berjangkit juga disasarkan turun kepada 18 peratus, manakala 60 peratus penduduk dijangka mempunyai rekod kesihatan digital pada 2030. – Bernama