KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bakal menjadi obor perubahan dalam membantu rakyat menghadapi tantangan yang kian getir dan sukar terutama dari pergerakan serta perubahan landskap ekonomi dan geopolitik global.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata RMK13 dengan tema Melakar Semula Pembangunan menjadi hitungan baharu kerajaan melalui perencanaan utuh dan tuntas dalam mengolah serta menterjemah cita besar Ekonomi MADANI.
“(Ia termasuk) peningkatan kos sara hidup, pertumbuhan gaji yang perlahan, peralihan menuju negara menua, kemerosotan kualiti alam sekitar serta dampak perubahan iklim yang terus merempuh,” katanya dalam prakata dokumen RMK13 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini.
Anwar berkata RMK13 bukan rencana biasa kerajaan malah ia merupakan usaha dan upaya kerajaan dalam mencakup hasrat rakyat yang dipasak pada iktikad Maqasid Syariah, dengan ikhtiar menaikkan lantai kehidupan rakyat yang memenuhi hak manusiawi menjadi keutamaan.
“Bagi merealisasi hasrat ini, sistem sosial yang dapat menjamin kehidupan wajar dan bermaruah akan dibangunkan, bukan setakat memberi tumpuan pada penyediaan akses dan pencapaian material semata-mata, tetapi memberi peneguhan kepada asas rohaniah, nilai insaniah dan ketinggian fikrah setiap rakyat,” katanya.
Beliau berkata tatakelola yang baik, yakni yang telus, tangkas dan tuntas berteraskan prinsip MADANI adalah prasyarat dalam memastikan amanah moral dan politik dipikul dengan penuh tanggungjawab.
“Tatakelola yang ampuh adalah sebuah tuntutan pentadbiran yang tidak harus dilihat hanya sebagai pelengkap dasar, tetapi sebagai wahana untuk memastikan kekayaan negara diagih dengan adil dan saksama kepada rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Bagi mencapai status negara maju menjelang 2030, beliau berkata pertumbuhan ekonomi sudah sewajarnya dilonjakkan dalam membangunkan negara, umpamanya, menaikkan siling.
“Seyogia, ikhtiar ditumpukan untuk meningkatkan kerencaman ekonomi melalui peralihan kepada penciptaan nilai yang berlandaskan pendigitalan dan kecerdasan buatan.
“Budaya mencipta juga akan dipupuk dalam mempelbagaikan penghasilan produk bernilai tinggi ‘Made by Malaysia’.
“Hasrat ini akan didukung melalui inisiatif pembangunan bakat berkemahiran yang bidangnya serba rencam, dari sains dan teknologi hingga kepada seni dan kreatif,” katanya.
Anwar berkata wacana pembangunan ini akan turut mendukung tuntutan kelestarian alam sekitar, sebagai lambang keterikatan dan ikrar negara untuk melindungi bumi sebagai amanah Tuhan dan generasi penerus.
“Selain memperteguh perihal pembangunan domestik, Malaysia terus melebarkan sayap di persada antarabangsa demi merealisasikan azam menjadi peneraju ekonomi Asia Tenggara.
“Lantaran itu, negara ini harus tampil unggul sebagai destinasi utama pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi, termasuk dalam industri kecerdasan buatan (Al), semikonduktor dan tenaga boleh baharu,“ katanya.
Beliau berkata tekad kerajaan untuk memacu ekonomi Islam global diteruskan melalui peluasan produk kewangan Islam dan pemantapan industri halal dengan jalinan kerjasama antarabangsa terus diperkukuh untuk meneroka pasaran baharu bagi memperluas akses kepada pasaran global.
Perdana Menteri dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan tertinggi kepada semua pihak yang telah mencurahkan bakti dan sumbangan tanpa mengenal erti lelah dalam merangka RMK13.
“Meski gelora dan kembara yang ditempuhi tidak mudah, bahkan acap kali memberi dentuman kepada semangat dan ketajaman fikiran, kebijakan ini berjaya digarap melalui wacana serta musyawarah yang senada dan muafakat, melibatkan segenap pihak, menjadi tanda nyata kecintaan kita terhadap tanah air.
“Perencanaan sebesar ini hanya akan berdiri dan terjelma dengan idea, keringat, tenaga, kerjasama dan kekuatan semua pihak dan kementerian dalam bersinergi dan menterjemah prinsip semangat berpasukan. Ini semangat MADANI yang sebenar-benarnya,“ katanya.
Anwar turut mengajak seluruh rakyat Malaysia berganding bahu dalam usaha menjayakan agenda RMK13 dan menzahirkan keyakinan bahawa RMK13 bakal memahat sejarah baharu Malaysia, serta membuahkan kejayaan yang gemilang demi mengangkat martabat, lantas mencipta tamadun bermaruah dan berketerampilan- BERNAMA