KUALA LUMPUR: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga China membabitkan kerugian lebih RM2.1 juta, tiga bulan lepas.
Syed Ali Imran Alqudri Syed Zulkefeli @ Syed Zulalqudri, 42, didakwa bersama-sama dua individu yang telah dituduh dan seorang lagi yang masih bebas, merompak Chen Kexue, 31, di sebuah vila di Bukit Damansara di sini, pada 10.10 malam, 21 Julai.
Ia membabitkan seutas jam tangan berjenama bernilai RM1.2 juta, tiga jongkong emas seberat 300 gram, wang tunai berjumlah RM100,000 dan lima telefon bimbit pelbagai jenama dengan anggaran kerugian keseluruhan RM2,146,000.
Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wafa Zainal Abidin tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pihaknya memohon tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin kerana kes itu melibatkan jumlah kerugian yang besar.
Peguam Bazlinda Bahrin yang mewakili tertuduh berkata pihaknya memohon jaminan rendah, dengan mengambil kira anak guamnya menghidap penyakit kencing manis dan masalah tulang belakang.
“Anak guam saya yang tidak mempunyai gaji tetap, perlu menanggung isteri serta seorang anak berusia 14 tahun selain beliau tiada rekod jenayah lampau,” katanya.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin yang menetapkan sebutan kes pada 4 Nov depan membenarkan lelaki itu diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Pada 8 Ogos, Mohd Syaqir Mohd Ami, 30, dan Nur Mohamed Mahsar Mohamed Nor, 34, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas kesalahan serupa, dan mereka dibenar diikat jamin RM15,000 serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran serta menyerahkan pasport kepada mahkamah - Bernama